Thursday, March 24, 2011

hari-hari yang bersisa di sini..

Assalamualaikum..

Selawat dan salam buat junjungan besar rasul Ulul 'Azmi Muhammad SAW dan para sahabat..Syukur padaNya kerana aku masih mampu bernafas sehingga ke saat ini,sehingga ke saat-saat akhir aku di bumi Shah Alam ini.Bagaikan tak percaya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi aku akan pergi meninggalkan MSU dan seisinya.

Mungkin pada sesetengah orang berpendapat,setiap pertemuan pasti akan berakhir dengan perpisahan.Namun bagiku,setiap pertemuan yang tercipta itu memang diakhiri dengan perpisahan tapi takkan berakhir begitu sahaja.Aku tak sanggup memadam segala kenangan yang pernah aku cipta bersama sahabat-sahabatku disini begitu sahaja.Seboleh mungkin ingin aku ingat setiap detik indah bersama mereka,susah senang bersama,bergelak ketawa bersama.Sungguh indah dan ia takkan mungkin dapat ku cari dimana-mana.

Dahulunya aku melangkah masuk ke MSU dengan tangisan dalam pelukan ibu bapaku,namun kini aku akan melangkah pergi meninggalkan MSU dengan tangisan dalam pelukan sahabat-sahabat.Dahulunya aku yakin bahawa tiada apa yang mungkin dapat aku kenang sepanjang berada di MSU tapi sekarang baru aku tahu.Cukup banyak kenangan yang suka dan duka telah tercipta disini.Aku pasti akan merinduinya.

Aku bersyukur kepadaMu Tuhanku kerana telah pertemukan aku dengan insan-insan yang sefikrah denganku dan memahamiku sepanjang perjuangan aku di MSU ini.Mungkin mereka tidak sepanjang masa bersamaku namun banyak masaku telah dihabiskan bersama mereka dalam menggerakkan kerja-kerja Islam di bumi "university of choice" ini.Banyak yang aku pelajari daripada mereka yang berpengalaman dan matang.Perkara yang paling banyak mengajarku sepanjang berada dalam Persatuan Mahasiswa Islam MSU ini ialah untuk menggerakkan dakwah Islam di kampus IPTS ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah.Ianya pasti akan dihujani ujian dan cabaran daripada pelbagai sudut samada di pihak dalam mahupun luar.Mungkin mudah bagi yang bercakap namun bagi yang melaluinya akan tahu betapa sukar dan peritnya untuk melalui semua itu.Tapi apa yang paling penting apabila berada dalam persatuan yang semuanya mempunyai wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) ini ialah sikap saling bantu membantu dan memberi sokongan padu dalam apa jua kerja.

Ahad ini (27 mac) malam akan ku bertolak ke bumi Shah Alam lagi setelah hampir seminggu bercuti di rumah untuk urusan pendaftaran latihan industri yang akan bermula pada 4 april ini.Selesai final semester exam tempoh hari,aku meluangkan masa selama 2 hari bersama sahabat-sahabat (Afifah,Kak Fasihah,Kak Solehah dan Kak Marni).Seronok sangat aku rasakan luangkan masa bersama mereka hingga terlupa bahawa tak lama lagi kami semua akan berpisah.Sengaja aku lupakan saat-saat itu,aku rasakan masih terlalu awal buatku ucapkan selamat tinggal kepada mereka.Aku tak sanggup!!!

Akhir kalam untuk kali ini,aku sangat berharap agar ikatan ukhuwwah antara kami tidak akan pernah putus meskipun berjuahan..Bak kata orang jauh di mata dekat dihati..Bersama-sama dengan post ini aku sertakan sekali maksud doa rabitah yang mengikut hati-hati kita insyaallah..


Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini…

berkumpul kerana mengasihiMu,
bertemu kerana mematuhi perintahMu,
bersatu memikul beban dakwahMu,
hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu;

maka eratkanlah ikatannya,
kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini,
tunjukkanlah kepada hati-hati ini jalannya yang sebenar;

penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung padam,
lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman,
dan keyakinan serta keindahan tawakkal kepadaMu;

suburkanlah hati-hati ini dengan pengetahuanMu yang hakiki,
jika Engkau takdirkan kami mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu.
Engkaulah sebaik-baik sandaran dah sebaik-baik penolong.

Restuilah nabi kami, Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga Baginda serta sahabat-sahabat Baginda seluruhnya.

Ya Allah, restuilah junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan para sahabat Baginda semuanya. Juga berikanlah kesejahteraan kepada mereka sebanyak-banyaknya.



Wallahu'alam..